Memantap Ukhwah Memperkasa Ummah
Salam Maal Hijrah 1431 kepada semua umat Islam. Saya mengharapkan dan mendoakan dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, ukhwah dan kekuatan seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan lebih kukuh dan dapat diperkasakan pada tahun akan datang.
Saban tahun sambutan Maal Hijrah di sambut samada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Sambutan ini cukup penting bagi kita mengiklankan syiar Islam kepada umat Islam dan bukan Islam sebagai satu medan dakwah. Apatah lagi sambutan ini mendapat perhatian pimpinan-pimpinan tertinggi kerajaan mahupun rakyat biasa malah mendapat liputan luas media eletronik dan cetak. Maka di kesempatan yang ada ini, perlulah digunakan oleh pihak berkuasa agama untuk mengunakan kesempatan yang memperluaskan dan memperjelaskan mesej-mesej Islam kepada semua pihak.
Kita rasa dukacita sekiranya sambutan yang saban tahun diadakan ini, hanya tinggal pada sambutan dan perayaan semata-mata. Lebih malang jika ia cuma sekadar memenuhi takwim program tahunan. Maka sambutan yang kita adakan diseluruh pelusuk negeri ini hanya akan tinggal jasad tanpa ruh yang menjadi punca penggerak kepada kesedaran dan kecintaan kita terhadap Islam. Maka kerana itu saya juga mengharapkan program-program sambutan Maal Hijrah perlu dihayati dan lebih berkesan sesuai dengan golongan sasaran. Pihak kerajaan juga perlu memberikan sokongan padu samada dari sudut kewangan dan kemudahan-kemudahan lain agar program berkait dengan hari kebesaran Islam lebih lancar dan lebih hebat pada setiap tahun.
Bagi kita umat Islam perlulah mengambil kesempatan cuti dalam sambutan tahun Hijrah untuk menghidupkannya dengan majlis-majlis ilmu, ataupun ibadat-ibadat seperti majlis zikir dan doa, malah majlis atau pertandingan yang boleh menarik minat orang ramai terutama remaja kepada Islam seperti pertandingan nasyid, puisi atau cerita pendek sejarah Islam, malah mungkin dapat dinobatkan tokoh Remaja Hijrah bagi memberikan suntikan baru kepada program sambutan Maal Hijrah.
Akhirnya saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan yang ada ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1431 kepada seluruh umat Islam amnya dan rakan-rakan khasnya. Moga Allah SWT memberikan petunjuk, rahmat dan keampunan kepada kita semua pada tahun yang mendatang ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan